Perairannya selain menjadi kawasan untuk mandi turut menjadi lokasi ideal untuk mereka yang mahu melakukan aktiviti menyelam (snorkling), tetapi takut untuk mencubanya di laut dalam.
Ini kerana terumbu karang 'House Reef' tidak jauh dari pantai pasti membawa anda meneroka keindahan dasar laut pulau perairan pantai timur itu.
Platform kecil beberapa ratus meter dari pantai menjadi tempat persinggahan mereka yang mahu berehat seketika selepas penat berenang. Kawasan sekitar dipenuhi terumbu karang yang terpelihara daripada arus pembangunan manusia selain menjadi antara tapak selam skuba lebih mencabar apabila dilakukan pada waktu malam.
Pelancong yang berkunjung antara Mei dan Ogos juga lebih senang menemui pelbagai spesies penyu apabila melakukan aktiviti di perairan teluk ini.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah menyewa bot dengan lantai tembus pandang dan jurupandu akan menjejaki hidupan yang banyak kelihatan pada waktu itu yang dikenali sebagai tempoh mengawan.
Terletak di kawasan Teluk Dalam Pulau Redang, menjadikan perairannya tenang daripada gelombang Laut China Selatan dan sesuai untuk semua jenis rekreasi air serta aktiviti santai.
Perairannya selain menjadi kawasan untuk mandi turut menjadi lokasi ideal untuk mereka yang mahu melakukan aktiviti menyelam (snorkling), tetapi takut untuk mencubanya di laut dalam.
Ini kerana terumbu karang 'House Reef' tidak jauh dari pantai pasti membawa anda meneroka keindahan dasar laut pulau perairan pantai timur itu.
Platform kecil beberapa ratus meter dari pantai menjadi tempat persinggahan mereka yang mahu berehat seketika selepas penat berenang. Kawasan sekitar dipenuhi terumbu karang yang terpelihara daripada arus pembangunan manusia selain menjadi antara tapak selam skuba lebih mencabar apabila dilakukan pada waktu malam.
Pelancong yang berkunjung antara Mei dan Ogos juga lebih senang menemui pelbagai spesies penyu apabila melakukan aktiviti di perairan teluk ini.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah menyewa bot dengan lantai tembus pandang dan jurupandu akan menjejaki hidupan yang banyak kelihatan pada waktu itu yang dikenali sebagai tempoh mengawan.
Kesempatan meliputi pusat peranginan lima bintang itu hadir ketika membuat tugasan sempena Hari Pembersihan Sedunia (ICD) bagi membersih dasar laut di sekitar perairan Pulau Redang, Terengganu. Lebih 200 peserta merangkumi sukarelawan, penyelam profesional dan pencinta alam menyertai program tahunan di BRR itu.
Oleh kerana bilangan wartawan adalah kecil, kami menumpang bot yang membawa penyelam ke beberapa tapak selam untuk mengutip tapak sulaiman jenis mahkota berduri. Selepas penyelam terakhir termasuk jurugambar dasar laut mula memasuki air, kami pula mengisi masa dengan snorkling sementara menunggu masa sesi pembersihan berakhir.
Seakan-akan sudah menjadi agenda wajib, kami turut dibawa ke taman laut di Pulau Pinang melewati Kampung Pinang, Tanjung Batu Manjing, Pasir Akar, Telok Lelong, Ayer Raja dan Pasir Tenggara yang menyimpan panorama dasar laut yang menakjubkan. Terumbu karang yang masih terpelihara menjadi kediaman kepada spesies ikan berwarna-warni.
Jika ada yang pandai mengenal ikan, pengunjung boleh melihat ikan karang seperti dengkis lada, kerepek, gombing, buntal, betok, bagang, taring pelandok, kerapu bara, jenahak dan pari lalat. Namun, seperti kebanyakan pelancong - spesies yang paling mudah dikenali adalah 'clown fish' atau lebih dikenali dengan nama popular, nemo.
Bagaimanapun, nasib kurang menyebelahi kami ada hari itu apabila kawasan taman laut dipenuhi segerombolan pelancong termasuk penumpang kapal persiaran mewah yang singgah di Redang.
Menurut pemandu bot, ia adalah pemandangan biasa di taman laut itu sehingga ada kalanya menerima kira-kira 1,000 pelancong terutama pada cuti hujung minggu.
Melihat suasana sudah seperti berada di pasar borong itu, pemandu bot bergegas untuk snorkling di Pulau Paku Kecil dan Pulau Kerengga. Inilah antara tarikan utama pulau ini apabila gugusan pulau kecil seperti Pulau Ling, Pulau Ekor Tebu dan Pulau Lima menjadi lokasi sesuai untuk aktiviti snorkling dan selam skuba.
Namun, jika tergolong dalam kalangan kaki pancing, tetamu boleh menyewa bot untuk mencuba nasib di beberapa lubuk di seperti Kapal Pulau Yu serta Tukun Pulau Redang 1 dan 2. Menurut peminat sukan joran, lubuk berkenaan banyak dihuni spesies ikan ebek, merah, tenggiri, aruan tasik, cupak, kerapu, belitung dan cermin.
Pulang ke penginapan, banyak aktiviti darat boleh dilakukan untuk mengisi waktu senggang jika sudah jemu bermain air.
Sukan pantai seperti bola tampar, futsal atau memanjakan diri di Spa Ayura menjadi antara aktiviti menarik. Pengurusan boleh mengaturkan jika tetamu mahu merentas denai untuk ke Pasir Panjang sambil melewati perkampungan nelayan.
Pantai Pasir Panjang yang menempatkan pusat peranginan tiga dan empat bintang juga pernah menjadi lokasi penggambaran filem Hong Kong 'Summer Holidays' lakonan Sammy Chen dan Richie Ren pada 1999. Replika rumah kayu yang dikenali 'More More Tea Inn' menjadi lokasi popular untuk bergambar.
Jika anda hanya sekadar mahu duduk 'rileks' sepanjang percutian, penulis menasihati supaya membawa sebuku roti, 'google' dan berenang sambil ditemani ikan pelbagai warna. Keindahan hidupan di celah karangan laut sudah mampu membuatkan anda berat hati untuk melangkah pulang.
INFO
>Terumbu karangnya menjadi kediaman kepada lebih 55 spesies karangan laut dan lebih 100 spesies ikan.
>Redang terdiri daripada Pulau Redang, Pulau Pinang, Pulau Ling, Pulau Ekor Tebu, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil dan Pulau Lima.
>Perairan dekat pantainya menjadi kawasan kedua diwartakan sebagai Taman Laut selepas Pulau Payar di Kedah.
>Pulau ini juga antara tapak selam paling popular terutama di kawasan karamnya kapal Perang Dunia Kedua - HMS Prince of Wales dan the HMS Repulse. Ia hanya terletak 5 minit perjalanan dengan bot dari BRR.
>Setiap tahun, kira-kira 100,000 pengunjung melawat Redang, menjadikannya antara pulau paling popular selepas Langkawi dan Tioman.
PENGINAPAN
BRR menawarkan lebih 200 unit penginapan meliputi chalet, Redang Hillview dan Redang Seaview menawarkan pemandangan indah dari blok dibina di lereng bukit berkecerunan. Dari atas bukit, dapat disaksikan pemandangan keseluruhan pusat peranginan ini.
Bagi pasangan yang berbulan madu, boleh mencuba Deluxe Garden Suite menjanjikan penginapan chalet kayu dikelilingi landskap hijau taman, atau Oceanfront Suite pula dengan terletak hanya 15 tapak dari pantai.
Jika membuat tempahan 90 hari lebih awal melayakkan pengguna menerima diskaun sehingga 25 peratus. Ia juga menyediakan pelbagai pakej meliputi setiap keperluan dan kehendak pengunjung.
CARA KE SANA
>Berjaya Air membuat penerbangan harian dari Terminal Subang Skypark (SST) memakan masa sejam 15 minit dan dari Lapangan Terbang Seletar, Singapura (1 jam 25 minit) terus ke pulau ini.
>Selain itu, Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia membuat penerbangan harian ke Kuala Terengganu. Anda boleh mengambil bot bot untuk ke pulau ini dari Jeti Shahbandar di Kuala Terengganu atau Jeti Merang di Merang untuk ke pulau ini.
RUJUKAN PERCUTIAN
Tourism Malaysia
Talian Pelancongan: 1-300-88-5050
E-mel: enquiries@tourism.gov.my
http://www.tourism.gov.my/
Berjaya Redang Resort
Tel : 09-630 8866
Faks : 09-630 8880
E-mel : reserdept@b-redang.com.my
http://www.berjayahotel.com/redang
No comments:
Post a Comment