MINATNYA dalam bidang batik memaksanya mengembara. Membuat kajian terperinci mengenai lokasi dan negara yang hendak dituju bagi merealisasi impian untuk mempelajari sesuatu mengenai batik.
Bukan suatu kesilapan apabila bertemu dengan Terengganu Institute Design Excellence (TIDE), Galeri Warisan Terengganu yang berperanan sebagai pusat kepakaran perkhidmatan profesional pembangunan rekaan termasuk batik dan songket ini.
Lalu Antonina Bondareva memulakan misinya mempelajari bidang yang semakin dicintainya itu dengan bimbingan daripada TIDE.
Biarpun hanya beberapa hari menggauli batik dengan mempelajari pelbagai teknik serta mengenali pengusaha terbaik di Terengganu, wanita berusia 28 tahun dari kota Moscow, Russia, ini akui sudah menemui cinta sejati.
"Inilah yang saya cari dan amat senangi. Rupanya kembara seni ini menemukan saya dengan sesuatu yang memang diminati dan dicari selama ini. Batik amat disenangi terutama canting flora faunanya yang mengasyikkan.
"Berbanding batik blok yang agak terhad seninya, saya lebih menggemari canting kerana ada kepuasan tersendiri apabila kita bebas berkarya. Bahkan kini, saya sudah tahu membezakan jenis batik sama ada lukis, blok atau tiruan. "Malah, kecenderungan terhadap motif dan warna serta kepekaan terhadap kehendak pelanggan menjadi aspek penting buat saya," kata pemegang Ijazah Sarjana (Ekonomi), Universiti St Pettersburg, Russia serta Ijazah Sarjana Muda dan Diploma (Seni Reka dan Perhubungan Awam), Institut Teknologi Seni, Moscow, ini.
Wanita yang beriltizam membuka perniagaan berasaskan batik dan barangan berkaitan yang bersifat komersial, mengakui sedang meninjau lokasi pasaran terbaik untuk membuka perniagaan di bandar kelahirannya itu tidak lama lagi.
Pengalaman sebagai pengarah pemasaran di beberapa syarikat sebelum ini dijadikan landasan penting untuk bergelar usahawan batik suatu hari nanti.
Dia tidak menafikan Malaysia mempunyai ramai pengusaha yang amat aktif dalam menjana perusahaan batik.
Namun katanya, berbanding batik Kelantan dan Terengganu bahkan Kuala Lumpur, dia melihat identiti yang dicetuskan pembatik amat berbeza antara satu sama lain.
"Mungkin nilai tradisi di Kelantan tidak sama dengan cara pereka di Terengganu yang agak terkehadapan dalam industri batik. "Batik yang dipasarkan di Kuala Lumpur pula motifnya jauh berbeza. Mungkin di ibu kota, ia lebih dirangsang oleh pasaran agak global menyebabkan karyanya ada tarikan tersendiri.
"Pasaran di sini lebih melihat kepada aspek pelancongan jadi usaha ke arah komersial lebih diberi tumpuan. Bahkan, pemilihan warnanya agak lembut kerana pelancong Eropah atau Barat kurang menggemari warna garang," katanya ketika ditemui di Pusat Karyaneka, baru-baru ini.
Mengenai batik Indonesia, dia mengakui belum menjengah negara berkenaan, tetapi bakal ke Bali. Dia juga akur batik negara jiran lebih lembut berbanding warna ceria yang sering menjadi percaturan di negara ini.
Sesuai dengan keadaan di negaranya yang memiliki budaya berwarna-warni serta banyak menerima pengaruh negara jiran seperti Perancis dan Jerman, aspek abstrak dan minimalis banyak mendorong lakarannya kelak.
"Identiti setiap negara berbeza. Saya banyak mengkaji minat pelancong terhadap bentuk atau corak yang menjadi titik fokus mereka. Ini penting kerana aspek pasaran amat dititikberatkan untuk melariskan barangan.
No comments:
Post a Comment