Tuesday, July 20, 2010
Taman Herba Tasik Kenyir
TASIK Kenyir yang popular di kalangan kaki pancing, kini bakal berubah wajah apabila tasik terbesar buatan manusia di Asia Tenggara ini bakal menyediakan sebuah spa sebagai tarikan terbarunya.
Spa yang bakal dibina di Taman Herba di Pulau Sah Kecil, sebuah daripada 340 pulau di tasik yang terletak di Hulu Terengganu pasti akan melenyapkan kata-kata nakal yang menyatakan Tasik Kenyir hanya sinonim dengan kaum lelaki apabila kaum perempuan kini mempunyai sebab menarik untuk turut berkunjung ke situ.
Dua buah spa yang akan dibangunkan tahun ini, bukan sekadar menjadi tarikan terbaru untuk pengunjung merehatkan badan secara santai dengan pemandangan menarik menghadap tasik, malah menyediakan pelbagai rawatan istimewa berasaskan herba.
Mengikut perancangan, Taman Herba yang dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan turut dibangunkan dengan sebuah pusat rawatan perubatan tradisional seperti aroma terapi, mandian herba dan perubatan berasaskan herba.
Pengawas Taman Herba, Abd Majid Awang, 56, berkata dengan adanya spa berkenaan, ia akan menambahkan bilangan pengunjung ke pulau itu sekali gus menjadikan Tasik Kenyir sebagai pilihan untuk mendapatkan rawatan alternatif di lokasi istimewa.
Katanya, sepanjang tahun lalu, Taman Herba menerima lebih 20,000 pengunjung dari dalam luar negara dengan purata hampir 2,000 pengunjung sebulan.
Menurutnya, taman seluas 15.84 hektar di Pulau Sah Kecil yang menjadi laluan ke pulau lain di bahagian selatan Tasik Kenyir seperti Air Terjun Saok, Air Terjun Lasir, Pulau Petang, Tanjong Mentong dan Gua Bewah ini mudah dikunjungi dan hanya mengambil masa 15 minit dengan menaiki bot laju dari Pangkalan Gawi atau sejauh tujuh kilometer.
"Taman Herba yang mula dibangunkan sejak 1995 ini mempunyai tiga objektif utama berteraskan 3P iaitu pelancongan, pendidikan dan penyelidikan.
"Taman ini dibangunkan secara berperingkat dan disediakan pelbagai kemudahan asas seperti jeti, laluan pejalan kaki mengelilingi pulau, wakaf, tapak semaian, pejabat pentadbiran dan tandas awam selain sebuah jambatan menghubungkan Pulau Sah Kecil dengan Pulau Sah Besar.
"Apa yang menarik, setiap pengunjung akan berpeluang menikmati minuman herba seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah yang bvanyak ditanam di sini," katanya ketika ditemui pada program Retreat Media ke Tasik Kenyir anjuran Unit Komunikasi (Ukom) Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini.
Terdapat kira-kira 26,000 pokok herba yang terdiri daripada 230 jenis ditanam di sini dengan pelbagai jenis pecahan herba seperti Tongkat Ali Haji Samat, Tongkat Ali Baginda dan Tongkat Ali biasa.
Selain itu, taman ini juga mempunyai beberapa jenis herba yang jarang ditemui di tempat lain seperti pokok jerangau, tongkat ali hitam, mas cotek dan pelbagai lagi.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Rosli Zakaria, yang mengetuai Retreat Media itu berkata program itu adalah kali kedua dianjurkan Ukom selepas lawatan ke kilang e-book, Top IT Industries Sdn Bhd di Gong Badak, Kuala Terengganu, Januari lalu.
Katanya, pihaknya akan menganjurkan Retreat Media setiap bulan untuk memberi pendedahan kepada media Terengganu mengenai pelbagai lokasi tarikan pelancong dan projek dibangunkan kerajaan negeri untuk diketengahkan.
"Malah kerajaan negeri berhasrat membawa masuk media luar untuk melawat tempat menarik di negeri ini sekali gus membantu kita mempromosikan pelancongan Terengganu.
"Banyak tempat menarik di Terengganu, tetapi tempat sebegini kurang dilawati kerana kurang pendedahan. Jadi dengan adanya pendedahan kepada media, ia diharapkan dapat dihebahkan dengan lebih baik dan mencapai matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan pelancongan sebagai tulang belakang ekonomi," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment