Tuesday, June 22, 2010

Santuari kelah


RATUSAN ribu ikan kelah menanti pengunjung. Mungkin sukar dipercayai dengan jumlah yang terlalu banyak ini.Namun, ia adalah satu hakikat apabila seseorang itu berkunjung ke santuari kelah di Sungai Petang.

Ikan-ikan kelah itu membiak dengan banyak di sungai berkenaan dan ia dikawal rapi dari sebarang aktiviti pencerobohan seperti memancing dan sebagainya.Sepanjang tiga kilometer di sebahagian daripada Sungai Petang itu, kawasan berkenaan telah digazetkan sebagai santuari kelah oleh kerajaan negeri Terengganu.

Keunikan Sungai Petang itu sebenarnya telah mengubah wajah Tasik Kenyir yang memang terkenal sebagai kawasan pelancongan sepanjang tahun.Apabila berkunjung ke santuari kelah, pasti seseorang akan terkejut dan kagum dengan panorama di situ.Kalau setakat mendengar cerita dari mulut ke mulut, ia belum memadai. Sebaliknya perlu melihat sendiri keunikan santuari tersebut.

Ini kerana ratusan ribu ikan kelah seolah-olah menanti setiap pengunjung yang datang.Sebaik sahaja berada dalam air di santuari tersebut, ikan-ikan kelah berkenaan akan terus berkerumun mengelilingi pengunjung.Spesies ikan tersebut seolah-olah tahu pengunjung akan memberi mereka makan.

Bagi pengunjung yang tidak biasa dikerumuni ikan-ikan, mungkin merasa agak janggal, namun perasaan itu hanya seketika.Sebaliknya, perasaan kagum dan seronok akan menyelubungi pengunjung selepas beberapa minit berada di dalam air.Dengan menabur palet makanan ikan, ikan-ikan kelah berkenaan akan berebut-rebut untuk memakannya.Pada masa inilah pengunjung berkesempatan untuk memegang ikan-ikan tersebut.

Malah, pengunjung juga boleh meletakkan palet di sebelah tangan kiri dan memegang ikan di sebelah tangan kanan sambil menyuapkan makanan tersebut pada ikan yang dipegang.Sukar dipercayai, walaupun sedang dipegang, ikan-ikan itu masih terus memakan palet-palet yang diletakkan di atas tangan.

Jika sebelum ini ramai kalangan kita hanya berkesempatan memegang ikan, tapi di santuari ini satu lagi aktiviti menyeronokkan ialah mencium ikan-ikan tersebut.Pengunjung boleh mencium ikan-ikan berkenaan secara lembut dan tanpa sebarang masalah.Inilah pengalaman yang boleh dirasai apabila seseorang itu berkunjung ke santuari kelah di Sungai Petang, Tasik Kenyir.

Ikan-ikan kelah berkenaan walaupun hidup secara liar dalam habitat semulajadinya, namun ia tetap jinak kepada para pengunjung.Apabila dipegang, ikan-ikan berkenaan memberikan tindak balas yang lembut.Walaupun badan ikan kelah itu licin, namun pengunjung masih boleh memegangnya dan ia satu pengalaman yang amat menyeronokkan.Bermandi-manda sambil memberi makan ikan kelah suatu kemestian jika pengunjung mahu melalui pengalaman unik di Tasik Kenyir.

Dengan air yang jernih dan bersih, Sungai Petang pasti tidak mengecewakan para pelancong yang mengunjunginya termasuk untuk mandi-manda.Selamat bertemu Ikan kelah di Sungai petang..

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails